Volvo S90, XC60 dan XC90 pasaran Malaysia dapat papan pemuka kulit – varian T8 sahaja, harga sama
Volvo Cars Malaysia (VCM) telah memberikan peningkatan kepada XC60, XC90 dan S90, dengan melengkapkan kesemua model ini dengan papan pemuka kulit, bersama jahitan kontras yang dipanggil sebagai Tailored Instrument Panel. Menurut syarikat ini, peningkatan tersebut sudah pun dimulakan pada bulan Mei lalu, dan diberikan tanpa sebarang perubahan harga.
Walaubagaimanapun, Tailored Dashboard ini hanya boleh didapati bagi varian T8 Inscription dan T8 Inscription Plus untuk semua model yang disebutkan tadi. Ini bermakna, XC60 T5 AWD Momentum, XC90 T5 AWD Momentum dan S90 T5 Momentum tidak mendapat papan pemuka tersebut.
Harga jualan untuk XC60 bermula pada RM298,888 tidak termasuk insurans, iaitu untuk varian T5 Momentum, manakala varian T8 Inscription dijual pada RM333,888 dan T8 Inscription Plus RM343,888. Model XC90 pula terdiri daripada T5 Momentum yang berharga RM373,888, T8 Inscription RM399,888 dan T8 Inscription Plus RM409,888.
Akhir sekali, S90 yang juga mempunyai varian sama seperti dua SUV tadi dijual pada harga RM338,888 untuk T5 Momentum, RM366,888 untuk T8 Inscription dan RM386,888 untuk T8 Inscription Plus. Selain daripada perubahan papan pemuka Tailored Instrument Panel untuk varian T8, senarai kelengkapan untuk semua varian ini masih lagi sama.
Semua model T5 dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo 2.0 liter Drive-E, yang mampu menghasilkan kuasa 254 hp dan 350 Nm tork. Varian T8 Twin Engine pula menggunakan penjana plug-in hybrid, yang terdiri daripada enjin Drive-E 320 hp/400 Nm dan motor elektrik 87 hp/240 Nm yang menyampaikan kuasa kepada roda belakang sekaligus menghasilkan pacuan empat roda. Semua enjin ini menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan Aisin.
Source: Read Full Article