VIDEO: Bunyi ekzos Yoshimura Kawasaki Ninja ZX-25R

Dalam video keempat siri teaser Kawasaki Ninja ZX-25R yang dikeluarkan oleh Kawasaki Indonesia hari ini, motosikal yang diubah suai satu persatu tersebut sudah hampir siap dan kini anda boleh mendengar bagaimana bunyi ekzos Yoshimura padanya.

Dalam video yang pernah dikeluarkan sebelum ini, anda mungkin sudah mendengar bunyi jentera dalam keadaan standard, atas mesin dyno tapi kali ini ia lebih memuaskan dengan bunyi yang lebih sporty. Sekiranya tidak melihat apa motosikal tersebut, mungkin ada yang tersalah sangka ia motosikal yang berkuasa 600 cc ataupun 1,000 cc.

Sedangkan sebenarnya ia cuma jentera 250 cc, tetapi mengeluarkan bunyi hampir sama kerana tetapan enjin empat silinder sebaris. Bukan setakat itu, anda juga boleh melihat terdapat percikan api berwarna biru apabila minyak dilepaskan pada rpm tinggi.

ZX-25R didedahkan pertama kali semasa Tokyo Motor Show tahun lalu dan setakat yang diketahui, ia akan menggunakan enjin 250 cc empat silinder yang boleh dikerah sehingga 17,000 rpm pada gear lima dan laju yang boleh pergi lebih 160 km/j (seperti yang ditunjukkan dalam video ujian oleh pelumba profesional).

Ia juga akan dilengkapi dengan barangan yang boleh dikatakan berspesifikasi tinggi untuk model kelas permulaan sepertinya, termasuk fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan, monoshock Horizontal Back-Link di belakang, quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

Source: Read Full Article