Triumph Rocket 3 R dan Rocket 3 GT diperkenalkan – guna enjin 2,500 cc, kuasa naik lagi 11 peratus

Walaupun sudah mempunyai banyak model yang popular di kalangan pengguna, Triumph tidak melupakan power cruiser mereka iaitu Rocket, yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2004. Kini versi baru tahun 2019 bagi model itu diperkenalkan, dengan menggunakan nama Rocket 3 R dan Rocket 3 GT, dan sedia memberi cabaran kepada model seperti Ducati Diavel dan X Diavel.

Rocket sentiasa terkenal dengan penggunaan enjin yang besar, dan model baru ini masih kekal sebagai motosikal produksi dengan enjin berkapasiti paling tinggi di dunia, iaitu 2,500 cc. Ini adalah enjin tiga silinder yang dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair.

Jika ini masih tidak membuatkan anda gentar, ketahui juga bahawa bagi model baru ini kuasanya bertambah 11% menjadi 165 hp pada 6,000 rpm dan 221 Nm tork pada 4,000 rpm. Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan shaft.



Jika mahu diletakkan sebagai perbandingan dengan sebuah kereta, Toyota Camry 2.5V mempunyai tork yang hampir dengan Rocket 3 iaitu 235 Nm pada 4,100 rpm. Tetapi, Camry mempunyai berat 1,550 kg manakala Rocket 3 R dan Rocket 3 GT pula cuma mencatat masing-masing 291 kg dan 294 kg. Jadi, bayangkan sendiri bagaimana kuasa pecutan motosikal ini.

Ada dua versi Rocket 3 yang diperkenalkan tahun ini iaitu Rocket 3 R dan Rocket 3 GT. Perbezaan utama dua versi ini adalah Rocket 3 R disediakan untuk mereka yang mahukan tunggangan sporty manakala Rocket 3 GT pula untuk mereka yang lebih santai dan mahu banyak menggunakannya bagi perjalanan jarak jauh.

Anda boleh melihat perbezaannya pada bahagian seperti peletak kaki (jenis dan kedudukannya), penghadang angin hadapan, penyandar kecil untuk penumpang belakang, pemegang dan tinggi tempat duduk (773 mm untuk Rocket 3 R dan 750 mm untuk Rocket 3 GT).



Kebanyakan kelengkapan lain pada motosikal ini adalah sama, termasuk suspensi yang terdiri daripada unit fork Showa 47 mm dengan larasan lantunan dan mampatan di hadapan, serta monoshock Showa boleh laras sepenuhnya di belakang. Kuasa brek pula datang daripada angkup Brembo M4.30 Stylema empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, lengkap dengan Cornering ABS.

Pada bahagian elektronik, Rocket 3 datang dengan empat pilihan mod tunggangan, Traction Control, panel instrumen TFT-LCD generasi kedua Triumph serta semua lampu jenis LED. Turut diberikan secara standard adalah Hill Hold Control, Cruise Control dan sistem tanpa kunci. Tangki bahan api pula berkapasiti 18 liter.

Rocket 3 R ditawarkan dalam warna Korosi Red dan Phantom Black manakala Rocket 3 GT pula ditawarkan dalam warna Silver Ice, Storm Grey dan Phantom Black.

Source: Read Full Article