Schumi dah boleh tonton F1 di televisyen – Jean Todt
Sejak koma selepas cedera ketika bermain ski sekitar enam tahun lalu, peminat sentiasa tertanya-tanya bagaimana keadaan Juara F1 tujuh-kali, Micheal Schumacher kerana keluarganya sentiasa merahsiakan kondisi kesihatan beliau. Namun, bekas prinsipal Scuderia Ferrari yang berkhidmat sepanjang Schumacher dalam pasukan berkenaan, Jean Todt mendedahkan bahawa Schumi sudah sedar dan sudah boleh menonton F1 di televisyen, lapor Independent.co.uk.
“Saya sentiasa berhati-hati dengan kenyataan sebegini, tetapi benar. Saya tonton perlumbaan bersama Micheal Schumacher di rumahnya di Switzerland,” kata Todt kepada Radio Monte Carlo minggu ini, menjelaskan bahawa dia dan Schumi menyaksikan siaran langsung Hockenheim GP hujung minggu lalu.
Menurutnya lagi, pemulihan Schumi kini berada pada status “perkembangan yang baik”. “Micheal mendapat penjagaan dan rawatan terbaik di rumahnya. Dia tidak berputus asa dan terus melawan,” tambah Todt lagi.
Walau bagaimanapun, Todt menzahirkan kesedihannya kerana hubungan mereka tidak lagi seperti dulu kerana masalah komunikasi yang dihadapi Schumi. “Keluarganya terus berjuang dan sudah tentu persahabatan kami tidak sama seperti dulu. Oleh kerana tiada lagi komunikasi yang sama seperti sebelum ini’” jelas Todt.
Jean Todt enggan mengulas lanjut tentang keadaan kesihatan Schumacher kerana menghormati keluarga juara dunia berkenaan yang tidak mahu perkara ini dihebahkan.
Micheal Schumacher koma setelah kepalanya terhantuk batu setelah jatuh ketika bermain ski dengan anaknya, Mick Schumacher pada 29 Disember 2013 di Meribel resort. Dia kemudiannya dikejarkan ke Grenoble Hospital berdekatan Pergunungan Alps untuk mendapatkan rawatan kecemasan, dan kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Switzerland di Lausanne, dan selepas itu di bawa untuk di rawat di rumahnya di Geneva pada September 2014.
Awal tahun ini, ketika sambutan hari jadinya yang ke-50, keluarga Schumi buat pertama kali mengeluarkan kenyataan berhubung keadaan kesihatannya.
“Anda boleh memastikan bahawa dia (Schumacher) dirawat oleh pihak yang terbaik dan kami lakukan seinsaniah yang mungkin untuk membantunya. Tolong fahami bahawa kami menuruti kehendak Micheal dan menyimpan perkara yang sensitif seperti kesihatan, ia adalah sentiasa, dalam privasi,” tulis kenyataan keluarganya yang disiarkan oleh Reuters.
Micheal Schumacher mula tampil dalam Formula 1 pada musim 1991 dengan pasukan Jordan. Secara keseluruhan, beliau telah memandu dalam 308 perlumbaan, dengan menjuarai 91 Grand Prix, mendapat 68 kedudukan pole, serta bergelar juara dunia sebanyak tujuh kali – dua kali berturut-turut dengan pasukan Benetton (1994-1995) dan empat kali dengan Ferrari (2000-2004).
Schumacher mengumumkan persaraannya pada 2006, tetapi kembali semula memandu untuk Mercedes-Benz atas pujukan pakar strateginya, Ross Brawn pada tahun 2010. Beliau kemudian bersara sepenuhnya pada tahun 2012 dengan tambahan sedikit lagi rekod kemenangan.
Related Cars for Sale on
Source: Read Full Article