Minyak enjin motosikal semi-sintetik terbaru dari Shell Advance AX7 – tambahan dua varian, RM33.90 sebotol
Shell Malaysia Trading Sdn Bhd kini telah memperkenalkan dua lagi varian baru bagi minyak enjin motosikal semi-sintetik Shell Advance AX7. Minyak yang dimaksudkan ialah Shell Advance AX7 10W-30 dan 15W-50 yang dijual dengan harga RM33.90 bagi setiap botol 1 liter (harga runcit yang disyorkan). Tambahan terbaru ini menjadi pelengkap kepada Shell Advance AX7 10W-40 yang sedia ada dalam pasaran.
“Penawaran terbaru ini membolehkan penunggang motosikal memilih minyak enjin semi-sintetik premium dari Shell Advance yang benar-benar menepati pelbagai keperluan mereka,” ujar Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants, May Tan. Ketiga-tiga gred minyak pelincir berkenaan dirumus menggunakan Teknologi Active Cleansing oleh Shell yang memberikan perlindungan lengkap untuk motosikal.
Antara manfaat yang akan dinikmati termasuk enjin yang 33% lebih bersih, perlindungan enjin yang 29% lebih baik pada suhu yang tinggi, penambahan jarak perjalanan sejauh 3 km bagi setiap liter bahan api, perlindungan komponen enjin daripada kehausan yang 36% lebih baik berbanding had industri serta tiada kehilangan kuasa walaupun selepas perjalanan sejauh 12,000 km.
Shell Advance AX7 15W-50 baru yang lebih likat menjanjikan kelancaran penghantaran kuasa dan perlindungan yang lebih baik bagi enjin yang digunakan dalam tempoh yang lama dalam keadaan tekanan tinggi. Shell Advance AX7 10W-30 baru pula mempunyai kelikatan yang lebih rendah menawarkan penjimatan bahan api dan perlindungan enjin yang lebih baik, membolehkan tambahan jarak perjalanan sehingga 3 km lebih berbanding jika menggunakan minyak mineral.
Shell Advance AX7 10W-40 sedia ada pula mempunyai formulasi seimbang yang sesuai untuk kegunaan hampir semua jenis motosikal bagi tunggangan harian dalam keadaan lalu lintas yang terhenti-henti. Apa pun, pengguna dinasihatkan untuk mengikut cadangan pengilang (OEM) berkenaan gred kelikatan dan penarafan kualiti minyak enjin yang diperlukan untuk motosikal masing-masing, seperti yang dinyatakan dalam manual pemilik.
Produk-produk baharu ini diadun dan dipakejkan di Malaysia, dilengkapi dengan label “Untuk Pasaran Malaysia” untuk memudahkan pengguna mengenal pasti produk tulen Shell dalam pasaran tempatan dan mengelak mereka daripada ditipu. Label dibahagian hadapan boleh ditanggalkan untuk mendedahkan kod QR unik untuk pengguna membuat pengesahan ketulenan produk dengan segera, sementara label di belakang menampilkan maklumat produk dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.
“Ini merupakan pelaburan strategik oleh Shell Malaysia untuk melindungi penunggang motosikal dan rakan niaga dengan cara membolehkan mereka mengenal pasti dengan jelas produk-produk rasmi dan tulen. Kewujudan produk-produk palsu dan tidak sah di pasaran menjejaskan keyakinan pelanggan. Pengenalan rangkaian Shell Advance “Untuk Pasaran Malaysia” baru yang berterusan adalah langkah utama untuk menangani isu ini,” tambah Tan.
Related Cars for Sale on
Source: Read Full Article